
02/12/2012
Inovasi cegah curi kenderaan
Kotak mengandungi telefon bimbit yang akan dipasang di dalam kenderaan.
MASALAH
kecurian kenderaan menyebabkan seorang pereka muda dari negeri di bawah bayu
Sabah menghasilkan Smart Handphone Box.Perekanya,
D H Mil Rahman Biok telah berjaya menghasilkan ciptaan terbarunya itu untuk
sistem keselamatan kenderaan.
Ciptaan itu telah menarik minat
penganjur Jejak Inovasi iaitu Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) membawa Rahman dan
inovasinya untuk dipamerkan sempena Forum Inovasi Dunia Kuala Lumpur (WIFKL
2012) baru-baru ini.Smart Handphone Box yang telah dipatenkan itu membolehkan
kenderaan 'memberitahu' pemiliknya jika diceroboh atau dicuri walaupun sistem
keselamatan kereta telah diputus atau dirosakkan.
Wakil Rahman, Jupili Waiman berkata,
sistem berkenaan boleh disambungkan dengan mudah ke sistem keselamatan kereta
tanpa pengubahsuaian besar pada kenderaan."Ia hanya menggunakan mekanisme
mudah yang akan mendail nombor telefon yang telah didaftarkan dalam senarai
pemanggil seperti pemilik, keluarga atau pihak berkuasa," katanya semasa
ditemui di WIFKL.
Menurutnya, mekanisme berkenaan akan
berfungsi apabila sistem keselamatan diaktifkan atau semasa sistem keselamatan
kenderaan diceroboh tanpa pengetahuan penjenayah.Rahman mendapat idea bagi
rekaannya apabila adiknya tersilap mendail nombor telefonnya pada 1996.
Ketika itu dia tahu peralatan yang
boleh 'memberitahu' pemilik kenderaan jika kenderaan dicuri boleh dibangunkan.Bagaimanapun
Rahman tidak dapat membinanya kerana ketika itu komponen yang diperlukan sukar
didapati.Kini setelah 15 tahun, Rahman mendapati
komponen berkenaan mudah didapati di kedai-kedai elektronik di bandar Kota
Kinabalu, Sabah.
CanggihMenurutnya, kini sistem yang lebih maju dan canggih boleh didapati dengan kos kira-kira RM5,000 tetapi beliau sendiri boleh membina dengan harga yang mampu dimiliki oleh semua orang tanpa menggunakan telefon bimbit.Apa yang lebih menarik kata Jupili, peralatan ini boleh mengesan lokasi kenderaan walaupun berada di dalam bangunan.
"Kenderaan yang dipasang dengan
sistem itu akan menghantar SMS apabila kenderaan diceroboh walaupun pemilik
berada di tempat lain."Ini berbeza dengan sistem keselamatan yang hanya
membunyikan penggera jika kenderaan diceroboh," katanya.
Ini membolehkan pemilik menghantar SMS
kepada kenderaan mengenai langkah seterusnya sama ada menghentikan kenderaan,
mengunci pintu atau apa-apa arahan yang telah didaftarkan.Ini memberikan
peluang kepada pemilik kenderaan untuk menelefon pihak berkuasa seperti polis
bagi mengesan kenderaan mereka.
Malah kaedah ini membantu pemilik yang
sering terlupa mengunci pintu kenderaan mereka.Jupili berkata, peralatan
berkenaan bukan saja boleh digunakan bagi kereta tetapi kenderaan lain seperti
motosikal dan hartanah seperti rumah, gudang atau pejabat.
Peralatan berkenaan juga boleh ditambah
fungsi dengan memberhentikan kotak gear atau aliran petrol ke kereta apabila
sistem diaktifkan.Ini bermakna penjenayah tidak dapat lari jauh dengan kereta
yang dilengkapi sistem ini.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sains_&_Teknologi/20121202/st_01/Inovasi-cegah-curi-kenderaan#ixzz2JqtGsEK2

No comments:
Post a Comment